Choose language : English Version
1. Bilakah tarikh penguatkuasaan undang-undang pemakaian tali keledar belakang
akan dikuatkuasakan ?
1 Januari 2009
2. Apakah jenis kenderaan yang diwajibkan memasang tali keledar belakang ?
Kenderaan
persendirian yang didaftarkan pada atau selepas 1 Januari 1995 dan mempunyai
anchorage points, tetapi tidak dipasang tali keledar belakang.
3. Apakah jenis kenderaan yang dikecualikan memasang tali keledar belakang ?
kenderaan yang didaftarkan
sebelum 1 Januari 1995;
kenderaan
komersil termasuk teksi dan kereta sewa, lori dan bas;
4. Berapa lamakah tempoh masa pemasangan yang diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian yang diwajibkan
memasang tali keledar belakang ?
Pemilik kenderaan persendirian yang didaftarkan pada atau selepas 1 Januari
1995 tetapi belum dilengkapi dengan tali keledar belakang, diberikan tempoh pemasangan selama 3 tahun, bermula 1 Januari 2009.
5. Bagaimanakah isu bilangan penumpang yang melebihi dari bilangan
tali pinggang tempat duduk belakang ?
Sekiranya
bilangan penumpang melebihi dari bilangan tali pinggang tempat duduk belakang,
pemandu kenderaan tersebut bertanggungjawab untuk memastikan kesemua tali
pinggang keledar tempat duduk belakang yang ada digunakan sepenuhnya. Sekiranya
gagal, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan
tersebut.
6. Bagaimanakah
isu pemakaian tali keledar bagi kanak-kanak dan bayi ?
Pemakaian
dan penggunaan tali keledar bagi kanak-kanak dan bayi adalah amat digalakkan
bagi tujuan keselamatan, namun ianya masih tidak diwajibkan. Pihak JKJR
menasihatkan para ibubapa agar menggunakan tali keledar bersama kerusi atau
jenis tempat duduk keselamatan kereta mengikut umur /berat kanak-kanak atau
bayi.
Kerusi keselamatan bayi - bayi baru lahir hingga umur 1 tahun, berat sehingga 9 kg, tidak berupaya menyokong kepalanya dengan betul.
Kerusi keselamatan kanak-kanak - 9 bulan hingga hampir tahun, berat di antara 9 hingga 18 kg.
Kerusi penggalas - 4 hingga 11 tahun, berat antara 15 kg hingga 36 kg. Rujuk laman ini untuk contoh contoh kerusi.
7. Apakah risiko atau kesan jika tali
keledar belakang tidak digunakan?
Penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang belakang boleh
mengundang risiko dan bahaya kepada pemandu dan penumpang di hadapan. Pada
kelajuan 50 kmsj penumpang belakang seberat 60 kilogram boleh menghentam tempat
duduk hadapan dengan kesan impak sebanyak 2.4 tan.
8. Apakah faedah dan rasional penguatkuasaan
pemakaian tali keledar terhadap aspek
pengguna dan keselamatan jalan raya ?
Berdasarkan perangkaan
tahun 2007, penggunaan tali pinggang keledar belakang oleh semua penumpang
kenderaan persendirian berupaya menyelamatkan 175 kematian, 350 kes cedera
parah dan 1050 kes cedera ringan.
Pelaksanaan inisiatif tali pinggang di belakang berupaya menyumbang untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 50%, kecederaan parah 45% dan kecederaan ringan sebanyak 50% bagi penumpang di belakang. Ianya juga berupaya menyumbang untuk mengurangkan risiko pemandu dan penumpang di hadapan sebanyak 75%.
9. Bagaimanakah
isu kos dan pemasangan tali keledar belakang ?
JKJR telah menandatangani MOU dengan pihak PROTON, PERODUA dan HONDA,
ketiga-tiga syarikat pengeluar kenderaan ini telah bermurah hati akan
memberikan tali keledar dan perkhidmatan pemasangan secara percuma bagi
kenderaan keluaran mereka. Sehubungan dengan itu para pemilik kenderaan terbabit yang masih belum
dilengkap tali keledar belakang digesa mengambil peluang ini untuk memasang
tali keledar belakang dalam tempoh yang ditetapkan.
Para pemilik kenderaan juga dipohon agar menunggu makluman atau pengumuman yang dijangkakan pada awal bulan Disember daripada syarikat-syarikat terbabit, melalui media massa berkenaan prosedur untuk mendapatkan pemasangan percuma tali keledar belakang.
10. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak JKJR bagi memastikan para
pengguna jalan raya mengamalkan pemakaian tali keledar belakang bagi mencapai
matlamat utama kearah keselamatan jalan raya ?
Bermula 1
Jun 2008 yang lalu, Kerajaan memulakan kempen advokasi pemakaian tali keledar
belakang. Ianya merupakan satu pendekatan bagi melaksanakan dasar baru
keselamatan jalan raya iaitu pemakaian tali keledar belakang, sebelum tindakan
penguatkuasaan dimulakan. Kempen advokasi ini diadakan bagi tempoh 6 bulan,
iaitu sehingga 31 Disember 2008.
Kempen advokasi ini bertujuan untuk membiasakan orang ramai terhadap peraturan baru pemakaian tali keledar belakang. Jabatan Keselamatan Jalan Raya di seluruh negara telah menggerakkan para pegawai di peringkat Negeri bersama rakan kongsi untuk memperhebatkan lagi pelaksanaan kempen advokasi bagi pemakaian tali keledar belakang.
Dalam kempen advokasi ini para pemandu dan penumpang diberikan nasihat dan maklumat berkenaan kepentingan dan faedah pemakaian tali keledar belakang, kesan negatif jika tidak memakai tali keledar, tempoh kempen advokasi dan tarikh penguatkuasaan, kenderaan diwajibkan dan dikecualikan bagi pemasangan tali keledar belakang serta risalah-risalah dan pelekat "Jom Klik" berkaitan penggunaan tali keledar depan dan belakang.
Pelaksanaan kempen advokasi ini juga telah mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada syarikat-syarikat konsesi lebuhraya di seluruh negara seperti PLUS, Besraya, MTD, LITRAK dan NPE bersama rakan kongsi, bagi melaksanakan kempen advokasi setiap hari dengan berlandaskan motto "Tiada Hari Tanpa Advokasi" dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai terhadap isu-isu keselamatan jalan raya.
Kempen-kempen advokasi melalui sesi nasihat dan penerangan juga dilaksanakan meliputi program-program penguatkuasaan dan pendidikan keselamatan jalan raya seperti Ops Bersepadu, pameran, ceramah, seminar, ‘e-mailblast' dan juga program temu bual bersama radio-radio tempatan.
11. Menjelang tempoh 60 ke arah penguatkuasaan undang-undang pemakaian tali
keledar belakang, apakah saranan pihak JKJR kepada para pengguna jalan raya ?
Menjelang
60 hari kearah penguatkuasaan pemakaian tali keledar belakang, JKJR menyeru
agar para pengguna sentiasa mengamalkan pemakaian tali keledar kerana pihak
PDRM dan JPJ akan memperhebatkan advokasi dengan mengeluarkan Notis Amaran
secara pentadbiran dan tanpa saman kepada para pengguna kereta persendirian
yang telah dilengkapi peralatan tali keledar belakang tetapi tidak memakainya,
bagi tujuan menyedarkan dan menyediakan masyarakat terhadap pelaksanaan
penguatkuasaan undang-undang tali keledar belakang mulai 1 Januari 2009.
Penguatkuasaan pemakaian tali keledar belakang hendaklah dilihat dari sudut keselamatan di jalan raya dan usaha-usaha kerajaan di dalam mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan di jalan raya serta usaha mewujudkan budaya kawalan kendiri di kalangan pengguna jalan raya supaya isu-isu keselamatan pengguna-pengguna jalan raya di beri keutamaan demi melindungi pengguna jalan raya daripada kecederaan dan kemalangan maut.
Undilah bacaan ini















Posts: 34
Reply #34 on : Wed March 04, 2009, 14:10:05