Top Safety Tips

|

Garis Panduan Pengguna Jalan Raya dalam situasi jerebu

1. Pasangkan lampu

Pasangkan lampu kecil apabila jarak penglihatan turun daripada paras biasa.

Pasangkan lampu utama apabila jarak penglihatan turun secara mendadak. Jangan gunakan lampu tinggi kerana jerebu membalikkan cahaya dan akan memburukkan keadaan.

2. Kurangkan kelajuan
Perlahankan kenderaan supaya sempat berhenti apabila berlaku kecemasan.

3. Jaga jarak antara kenderaan

Pemandu harus mengekalkan jarak yang selamat antara kenderaan di hadapan supaya mempunyai ruang yang mencukupi untuk berhenti sekiranya ada situasi merbahaya di hadapan.

4. Jangan berhenti di tepi jalan

Berhenti di tempat yang disediakan seperti di perhentian atau kawasan rehat dan rawat. Pasangkan lampu kecil untuk keselamatan.

5. Berhati-hati apabila mengambil simpang atau memotong kenderaan

Pasang lampu isyarat dan pastikan ianya selamat sebelum masuk ke simpang atau memotong kenderaan.

6. Kenderaan rosak

Berhenti di tempat yang tidak menghalang lalulintas. Hubungi pihak lebuh raya atau polis supaya ianya dapat ditarik ke kawasan yang selamat dengan segera.

7. Warga emas

Warga emas dinasihatkan tidak memandu dalam keadaan jerebu.

8. Pengumuman trafik di radio dan paparan iklan elektronik

Pemandu dinasihatkan agar mendengar pengumuman trafik di radio dan juga mesej di paparan iklan elektronik untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung keadaan trafik di kawasan yang dilalui.

9. Peringatan khas untuk pengguna motosikal

Selain daripada panduan di atas, pengguna motosikal dinasihatkan supaya memakai pakaian yang bewarna cerah dan topi keledar yang mempunyai pelekat bersinar bagi meningkatkan kebolehlihatan serta memakai penutup muka.

10. Peringatan kepada pengguna motokar

Jangan pasang lampu kecemasan (hazard light) semasa memandu kerana ianya mengelirukan pemandu lain. Lampu kecemasan hanya digunakan apabila kenderaan BERHENTI di tepi jalan semasa berlaku kecemasan.

Topi keledar untuk anak anda

Kepala anak-anak tersayang perlu dilindungi daripada sebarang kejadian. Sebagai ibubapa yang dianugerahkan cahaya mata, anda diamanahkan tanggungjawab untuk mendapatkan topi keledar yang sesuai untuk mereka.

Topi keledar tidak harus terasa longgar pada kepala anak anda. Jangan kerana hendak menjimatkan wang, nyawa anak tergadai. Pastikan topi keledar betul-betul menepati saiz kepala anak anda.

Seorang kanak-kanak tidak mengenal erti bahaya menaiki motosikal tanpa topi keledar – tetapi sebagai ibubapa, anda harus menyedarinya. Lindungilah mereka dengan topi keledar.

Tidak berhenti ketika lampu merah?

Merah maksudnya berhenti; kepada ramai penunggang motosikal ia amat melecehkan, kononnya membazir masa. Mereka ini tidak sedar bahawa lampu merah itu sebenarnya pelindung mereka.

Ramai penunggang motosikal mati katak kerana enggan berhenti ketika lampu bertukar merah. Jangan menyumbang nyawa anda kepada statistik ini.

Walaupun tiada kenderaan lain di jalan raya, selalu ingat bahawa perbuatan tidak berhenti di lampu merah adalah suatu kesalahan di sisi undang-undang.

Jadi, perlahankan motosikal ketika lampu kuning dan berhenti ketika ia merah. Bersabar seminit dua, dan lanjutkan hidup anda.

q

Pasangkan tali pinggang keledar, walaupun duduk di belakang

Tahukah anda, dalam kemalangan yang melibatkan kereta, luka yang paling parah dialami adalah mereka yang duduk di belakang?

Ini kerana hentaman pelanggaran akan menjunamkan penumpang yang duduk di belakang kereta ke tempat duduk depan.

Hentaman daripada keberatan seseorang penumpang di belakang begitu kuat, ia berupaya menolak mereka yang duduk di depan hinggakan terlanggar papan pemuka kereta.

Inilah bukti betapa pentingnya tali pinggang keledar belakang – kerana ia berupaya melindungi anda dari tercedera, dan juga orang lain.

Jika anda fikir hanya penumpang depan sahaja diwajibkan memasang tali pinggang keledar, cuba fikir sekali lagi. Pastikan tali pinggang keledar digunakan oleh penumpang di belakang kereta.

|

Kancingkan Topi Keledar

Tahukah anda topi keledar diperbuat daripada adunan fiber, kaca istimewa serta karbon pada bahagian luarannya, dan polistirena khas dengan pengalas anti-kebakaran pada sebelah dalamannya untuk mengurangkan hentaman pelanggaran dan mengelakkan kelecuran?

Tahukah anda setiap topi keledar yang bermutu telah melalui ujian terperinci sebelum dijual kepada anda?

Topi keledar boleh menjamin keselamatan anda – kalau anda memasang kancingnya. Sebab kalau anda tidak mengikatnya, topi keledar yang terbaik pun tidak dapat menyelamatkan anda.

Jadi, bila-bila saja anda menaiki motosikal, walaupun cuma ke kedai di hujung jalan untuk membeli ais krim – pastikan topi keledar anda dipasang dengan cermat betul.

Hendak mencelah atau sayangkan nyawa

Perbuatan bertukar-tukar lorong dan memotong keluar masuk trafik disifatkan sebagai mencelah-celah.

Membawa motosikal secara mencelah-celah amat merbahaya, Malah pemandu motosikal profesional tidak mengesyorkan perangai sebegini di jalan raya.

Keadaan di jalan raya yang tidak menentu, serta tindakan pengguna jalan raya yang lain tidak boleh diramal memang menambah lagi bahaya perbuatan mencelah-celah ini.

Ingat: motosikal anda hanya diimbangkan atas sepasang roda, dan maka itu amat mudah tumbang. Sebiji batu, lopak bertakung, malah keadaan jalan yang berminyak pun boleh menyebabkan anda hilang kawalan.

Perbuatan mencelah-celah tidak akan membawa anda ke tempat yang dituju dengan lebih cepat. Malahan ia membahayakan orang lain. Bersabarlah. Jangan asyik bertukar-tukar lorong.

Nasihatilah anak anda

Wahai orang dewasa, ibubapa, abang-abang dan kakak-kakak – adik-adik kita perlukan perlindungan anda.

Seseorang kanak-kanak melintas jalan hampir tidak boleh dilihat oleh para pemandu. Makin kecil kanak-kanak itu, makin sukar untuk diperhatikan ketika di jalan raya.

Jangan sekali-kali membiarkan anak kecil melintas jalan seorang diri. Perasaan takut mungkin menyebabkan mereka berlari lintang pukang melintas jalan.

Sesebuah kereta yang hanya bergerak pada kelajuan 30 km/jam pun mungkin tidak sempat berhenti. Jadi pimpinlah tangan kanak-kanak dan bantu mereka melintas jalan raya.

Tindakan mudah itu mungkin dapat mengelakkan kemalangan dan menyelamatkan nyawa seseorang kanak-kanak yang tidak berdosa.

q

Hendak melintas ataupun tidak?

Ramai orang malas mencari tempat yang betul untuk melintas jalan, maka mereka melintas di mana-mana dan bila-bila sahaja mereka suka.

Sebenarnya, tempat-tempat yang selamat untuk melintas jalan adalah di:

  • Lintasan belang
  • Lintasan undan
  • Jejantas pejalan kaki

Jika anda tidak menjumpai tempat yang disenaraikan di atas, maka tempat paling selamat untuk melintas adalah di lampu isyarat.

Berlari semasa melintas dan kemudian berhenti di garisan putih di tengah-tengah jalan raya bukan sahaja menakutkan tetapi boleh membawa maut.

Jadi jangan melanggar undang-undang jalan raya – gunakan lintasan yang disediakan dan anda akan sampai ke tempat yang ditujui dengan selamat, insya-Allah.

q

Jangan memonopoli jalan

Pembolot jalan ditakrifkan sebagai mereka yang menggunakan lorong laju sambil menghalang kelancaran perjalanan kereta di belakang.

Pembolot jalan akan menyebabkan pemandu lain hilang sabar, dan mereka mungkin bertindak melulu ataupun cuba memotong jalan secara merbahaya.

Ramai orang tidak sedar mereka memboloti jalan. Mereka tidak sedar betapa bahayanya perbuatan sebegini.

Jika anda tidak memandu dengan laju ataupun tidak memotong, sila gunakan lorong kiri. Jika anda di lorong kanan, dan kereta di belakang menghampiri anda, maka anda harus beralih ke lorong lain untuk memberi laluan.

Bersopan di jalan raya dan perjalanan menjadi lebih lancar. Ikut kiri jika tidak memotong.

Jangan ekori kenderaan depan

Jangan ekori kenderaan di depan ataupun memandu terlampau hampir. Sebagai pemandu, anda tidak mungkin dapat bertindak mengelakkan pelanggaran dalam keadaan kecemasan.

Jika anda di lorong laju, dan pemecutan kereta anda dihalang oleh kereta yang lebih lambat, anda hanya perlu pancarkan lampu depan kereta anda untuk menandakan hak kelancaran perjalanan anda.

Jangan sekali-kali mengekori seseorang pemandu lain kerana ingin menakutkannya – kerana ini akan menjadikannya terasa cemas ataupun membawa keretanya dengan lebih perlahan lagi.

Mengekori kereta depan cuma membahayakan diri anda serta orang lain – jadi elakkan daripada mengikuti kereta depan terlampau dekat.