OpsSikap XIII: Nahas maut terendah

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang direkodkan pada hari ketiga Aidilfitri kelmarin, terus menunjukkan penurunan ketara dengan 10 kes, iaitu jumlah terendah sejak Ops Sikap XIII dilancarkan pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, jumlah kematian secara keseluruhannya meningkat kepada 147 mangsa selepas sembilan hari operasi itu dilancarkan.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Hamza Taib, berkata penunggang motosikal dan pejalan kaki masing-masing mencatatkan tiga kematian diikuti satu pemandu kereta, van, teksi dan penunggang basikal.

“Keseluruhannya, 1,077 kemalangan dicatatkan di seluruh negara sejak sembilan hari lalu, menunjukkan peningkatan 73 kes atau 7.3 peratus berbanding tempoh sama bagi Ops Sikap, khusus untuk Aidilfitri sebelum ini.

“Jumlah kemalangan tertinggi dicatatkan di jalan Persekutuan iaitu 391 kes diikuti jalan bandaran (301), jalan negeri (227), lebuh raya (106) dan jalan lain (52),” katanya, di sini semalam.

Sehingga kelmarin, katanya, jumlah kemalangan maut tertinggi dicatatkan di jalan Persekutuan dengan empat kes, diikuti jalan bandaran (tiga), jalan negeri (dua) dan lebuh raya (satu).

“Bagaimanapun, jumlah kematian yang dicatatkan itu didapati menurun berbanding 156 kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama dalam operasi terdahulu. Ops Sikap XIII akan berakhir pada 21 Oktober ini.

“Kita berharap perangkaan ini terus menurun. Melalui Ops Sikap XIII diharap purata kematian mangsa nahas dikekal atau dikurangkan antara 14 hingga 15 orang berbanding 17 kematian sebelum ini,” katanya.

Sebanyak 10,020 saman dikeluarkan sehingga kelmarin, dengan purata 9,000 saman dikeluarkan sehari atas pelbagai kesalahan trafik termasuk enam kesalahan berat trafik yang disenaraikan sebelum ini.

Antaranya memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan lorong kecemasan tanpa sebab, memotong barisan dan menyebabkan kemalangan jalan raya.

Hamza turut menasihatkan pengguna jalan raya lebih berhati-hati, terutama ketika melalui 396 kawasan sering berlaku nahas, termasuk kemalangan maut di seluruh negara yang dikenal pasti sebelum ini.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 102 laluan maut dikesan di lebuh raya, diikuti 197 (jalan Persekutuan), 83 (jalan negeri) dan 14 (jalan bandaran).

Orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan masing-masing sepanjang musim perayaan kali ini, terutama pada waktu puncak menjelang 20 dan 21 Oktober ini bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, termasuk di lebuh raya.

Author: josh

Share This Post On