Ops Sikap XIII: Polis serah 29 saman atas bas

KUALA LUMPUR: Polis trafik yang menyamar sebagai penumpang sudah mengeluarkan 29 saman terhadap pemandu bas ekspres atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak Ops Sikap XIII, bermula Ahad lalu.

Semua saman itu membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar dan memasuki lorong kecemasan, diserahkan oleh �penumpang polis� kepada pemandu sebaik bas tiba ke destinasi.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Hamza Taib, (gambar) berkata pendekatan menyamar sebagai penumpang dilihat berkesan dalam usaha pihaknya mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya, khususnya membabitkan bas ekspres.

“Kita percaya kaedah ini mampu mengawal pemandu bas daripada memandu secara berbahaya kerana mereka tidak tahu siapa di antara penumpang itu adalah anggota polis.

“Kita mungkin akan menggunakan kaedah sama setiap kali musim perayaan ekoran keberkesanannya dalam mendorong pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya,” katanya selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri 2007 di Wisma Kesas (Lebuh raya Shah Alam), di sini, semalam.

Beliau berharap, kemalangan dan kematian di jalan raya dapat dikurangkan seperti dilakukan pada Ops Sikap XII ketika sambutan Tahun Baru Cina, Februari lalu.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 14 lagi maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara pada hari kedua Ops Sikap XIII sempena Aidilfitri, kelmarin, menjadikan jumlah kematian dua hari pertama mencecah 34 orang.

Penunggang motosikal terus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kematian dengan tujuh kes, diikuti pemandu kereta (tiga), penumpang kereta (dua), seorang penunggang basikal dan pejalan kaki.

Statistik juga menunjukkan jalan persekutuan masih menjadi laluan maut tertinggi dengan 310 kemalangan membabitkan sembilan kematian, manakala tiga kematian berlaku di jalan bandaran.

Lebuh raya dan jalan negeri masing-masing merekodkan satu kematian.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintendan Rasdi Ramli, dalam kenyataannya, di sini, semalam memberitahu, kemalangan maut di seluruh negara menurun 11 kes pada hari kedua berbanding 15, hari sebelumnya.

“Jumlah kemalangan di seluruh negara sebanyak 1,209 kes menjadikan jumlah keseluruhan 2,145 kes sejak Ops Sikap XIII dilancar Ahad lalu,” katanya.

Author: josh

Share This Post On