Ops Sikap XIII: Bas rosak brek dilarang terus perjalanan

TAIPING: Bas ekspres dan tambahan mengalami kerosakan brek atau tayar tidak akan dibenarkan meninggalkan terminal sepanjang Ops Sikap XIII, walaupun ia boleh mendatangkan kesusahan kepada penumpang yang sudah memiliki tiket untuk pulang berhari raya.

Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Salim Parlan, berkata dalam pemeriksaan dikendalikan di semua 30 terminal bas utama di seluruh negara, JPJ hanya akan memberi dua pilihan kepada pengusaha bas, iaitu sama ada menggantikannya dengan bas lain atau melakukan pembaikan serta-merta.

“Kita tahu tindakan tegas JPJ boleh menyusahkan penumpang untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri, bagaimanapun pengusaha bas perlu memastikan bas ekspres dan tambahan sentiasa keadaan baik.

“Walaupun tindakan kami agak tegas dan mengganggu perjalanan penumpang, JPJ tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan orang ramai.

“Masalah teknikal boleh mengakibatkan kemalangan, jadi jangan salahkan penguat kuasa sama ada JPJ, polis atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan jika bas ditahan.

“Justeru, kami merayu kepada pengusaha bas lebih bertanggungjawab memastikan bas berada dalam keadaan terbaik sebelum meninggalkan terminal,” katanya di Hentian Raya Kamunting dekat sini, malam kelmarin.

Salim berkata, JPJ tidak akan membuat pemeriksaan di terminal bas di Kelantan kerana ia boleh mengganggu lalu lintas, sebaliknya pemeriksaan dibuat di sepanjang jalan.

“JPJ juga membuat Ops Samaran di mana anggota kami melakukan penyamaran dan mengambil gambar menggunakan kamera digital kenderaan yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan serta memandu secara berbahaya,” katanya.

Katanya, anggota berpakaian biasa dan menggunakan kereta tanpa logo JPJ itu tidak akan menahan kenderaan yang melakukan lima kesalahan utama itu kerana boleh mengakibatkan kesesakan jalan raya.

“Sekiranya ada sesiapa yang berpakaian awam menahan dan mengaku mereka mewakili JPJ, itu bukan pegawai atau anggota kami,” katanya.

Selain itu, Salim meminta orang ramai supaya terus mengemukakan aduan kepada anggota JPJ yang bertugas di terminal bas jika mendapati tiket bas yang dibeli melebihi harga ditetapkan LPKP iaitu RM5 tambahan saja daripada harga biasa.

Author: josh

Share This Post On