Choose language : English Version
KUALA LUMPUR: Kira-kira 479,000 kereta yang didaftarkan sebelum 1995
dijangka mendapat pemasangan percuma tali pinggang keledar tempat duduk
belakang bermula awal tahun depan sehingga pertengahan 2010, menerusi
program penajaan yang dimulakan oleh kerajaan.
Ia antara lain membabitkan 28,000 kereta Perodua Kelisa
(28,000), Perodua Kancil (141,000), Perodua Kenari (33,000) dan Proton
Iswara/Saga/Gen 2 (150,000) dan Naza (30,000).
Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat, berkata kos
pemasangan tali pinggang keledar tempat duduk belakang bagi setiap
kereta adalah RM180 dan ia akan ditanggung pengeluar kereta atau
menerusi tajaan warga korporat.
Pemilik kereta hanya perlu membawa kereta mereka ke bengkel terpilih yang dilantik pengeluar kenderaan untuk memasangnya.
“Berapakah tajaan yang kami peroleh sehingga kini untuk
program itu, hanya akan dimaklumkan apabila kami umumkan rakan kerja
kami dan apabila kami memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan
mereka,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini,
semalam.
Ong berkata, MoU pertama dijadual ditandatangani hari ini
antara Proton dan kementerian. Di bawah MoU itu, Proton akan membayar
kos pemasangan tali pinggang keledar untuk model kereta keluaran
mereka, di bengkel Proton seluruh negara.
“Kementerian masih memperincikan butiran penajaan dengan pengeluar kereta lain.
Saya berkeyakinan Kementerian Pengangkutan akan memperoleh tajaan yang cukup untuk program berkenaan.
“Setakat ini, maklum balas daripada syarikat swasta di bawah
program Tanggungjawab Sosial Korporat mereka amat menggalakkan,”
katanya.
Beliau berkata, langkah mewajibkan penggunaan tali pinggang
keledar tempat duduk belakang bertujuan mengurangkan kematian di jalan
raya membabitkan kenderaan penumpang dan bukan untuk menambah bebanan
kepada orang ramai.
“Kami menjalankan semua tinjauan dan kajian. Kami tidak mahu masyarakat
membayar untuk pemasangan itu memandangkan mereka sudah menanggung
kesukaran misalnya harga bahan api yang tinggi. Jadi kami melakukan
tugas kami untuk membantu mereka (dengan mendapatkan pengeluar dan
syarikat korporat bagi menaja usaha itu), namun pada masa sama, kami
perlu menyampaikan mesej yang jelas.
“Saya pun bukanlah mahu mewujudkan jutawan segera. Langkah ini juga bukan untuk mengkayakan kroni,” katanya. - Bernama.











