AADK giat periksa pemandu guna dadah

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pemandu bas ekspres dan lori dikesan menggunakan dadah sintetik ATS (Amphetamine-Type Stimulants) yang mudah didapati dan murah untuk mengelak mengantuk, selain memberi tenaga tambahan ketika memandu.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata mereka memerlukan dadah sintetik itu untuk memastikan dapat tiba ke destinasi seperti ditetapkan.

Sempena Ops Sikap XIII, katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama pihak berkuasa lain akan meningkatkan pemeriksaan di lebuh raya dan 33 terminal bas di seluruh negara bagi mengambil tindakan terhadap pemandu bas ekspres yang mengambil dadah sintetik.

“Kita yakin sebahagian besar mereka menggunakan dadah kerana boleh meningkatkan daya tahan dan tidak mengantuk, namun mereka lupa kesan negatif dan kemudaratan dihadapi selepas pengambilan bahan itu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Kempen Antidadah Aidilfitri 2007 di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, semalam.

Mohd Johari turut mengedar 1,000 risalah antidadah kepada pemandu yang melalui tol itu, manakala AADK Wilayah Persekutuan dan Selangor masing-masing mengedarkan risalah sama di Stesen KL Sentral dan Plaza Tol Jalan Duta, di sini.

Beliau berkata, pengedaran risalah antidadah itu bagi mengingatkan mereka supaya tidak leka ketika menyambut kemeriahan Aidilfitri dan sentiasa peka terhadap keluarga, rakan dan persekitaran supaya bebas daripada gejala dadah.

Selain itu, katanya, AADK dan polis juga akan menggempur pusat hiburan untuk menangani kegiatan penggunaan dadah sintetik oleh golongan muda yang gemar berseronok kerana campuran bahan itu dapat memberi daya khayalan lebih tinggi.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu, 10,800 penagih dengan 4,934 penagih baru dan 5,866 penagih berulang dikesan dan jumlah itu berkurangan berbanding 15,595 penagih dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, statistik itu menunjukkan penurunan jumlah penagih dadah sehingga 30 peratus, dengan Pulai Pinang mencatatkan bilangan penagih paling ramai dikesan iaitu 2,703 kes, diikuti Johor (1,350 orang), Kuala Lumpur (1,310), Kedah (1,094) dan Perak (910).

Sementara itu, beliau juga menasihatkan orang ramai yang akan pulang beraya di kampung supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, bersabar dan berhati-hati sepanjang perjalanan.

“Sikap pemandu yang tidak sabar, panas baran, terburu-buru dan suka memotong kenderaan menggunakan lorong kecemasan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas bertambah buruk dan menjadi punca kemalangan.

Author: josh

Share This Post On