Choose language : English Version
KUANTAN 27 Jun - Seorang penyelia asrama maut selepas kereta yang dipandunya terlanggar seekor babi sehingga terbabas dan terjunam ke dalam Tasik Kebok di Kilometer 87.5, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur semalam.
Mangsa, Tuan Saripah Maziah Tuan Losin, 38, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Sekolah Rendah Kebangsaan Maran dipercayai meninggal dunia akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kemalangan kira-kira pukul 7.30 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa terbabas setelah terlanggar seekor babi yang melintas secara tiba-tiba.
"Mangsa ditemui oleh seorang lelaki berusia 40-an yang terlihat kereta mangsa dalam keadaan separuh tenggelam di tasik berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi.
"Lelaki itu cuba menarik mangsa ke tepi tebing dan segera menghubungi polis apabila mendapati mangsa yang lengkap berpakaian dan bertudung telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui seekor babi sebesar anak lembu seberat 50 kilogram yang telah mati berada di tepi jalan berhampiran laluan kereta berkenaan terjunam.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius dengan hanya luka kecil di kepala.
"Disebabkan kecederaan itu juga mungkin menyukarkan mangsa untuk keluar dari kenderaan yang ditenggelami air," ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE











