Choose language : English Version
GUA MUSANG 27 Jun - Seorang tukang emas terbunuh manakala isteri dan dua anaknya cedera apabila kenderaan utiliti sukan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 6, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Supritendan Aziz Hasan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, Sedi Said, 46, yang cedera parah di kepala dan tersepit dalam kenderaannya, meninggal dunia di tempat kejadian
Menurut beliau, isteri mangsa, Rahana Ibrahim, 45, dan dua orang anak mereka, Nordiana, 21, dan Nadia, 23, pula cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gua Musang.
Katanya, ketika kejadian, mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Kuala Lumpur selepas mengambil anaknya di sebuah kolej kejururawatan di Cheras.
Beliau berkata, mangsa dari Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian yang memandu kenderaan utiliti sukan jenis Honda CRV cuba memotong sebuah treler tetapi gagal menyebabkan ia bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
"Semua 33 penumpang bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur itu tidak mengalami kecederaan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE











