Choose language : English Version
TEKS UCAPAN
TIMBALAN KETUA PENGARAH
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA
MAJLIS PENUTUP BENGKEL PETRONAS STREETSMART - LESSONS FOR LIFE 2009
1 JULAI 2009
AUDITORIUM PERPUSTAKAAN DBKL
Y.Bhg. Encik Muhammad Heeza Hassan
Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya
Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur;
Y.Bhg. Encik Kamarudin Kassim
Pengarah Program Luaran Petrosains Sdn Bhd;
Para peserta Bengkel;
Tuan-Tuan, Puan-Puan, para media dan hadirin sekalian.
Salam Sejahtera dan Selamat petang.
Saya berasa amat gembira kerana dapat kita berkumpul bersama sempena Majlis Penutup Bengkel PETRONAS StreetSmart - Lessons for Life 2009 pada petang yang mulia ini.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Petrosains Sdn Bhd yang telah bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menganjurkan bengkel Petronas Streetsmart - Lessons For Life 2009 kepada para pemandu dan pegawai yang terlibat secara langsung dengan pemanduan kenderaan bermotor bagi pejabat-pejabat kerajaan dan juga pihak swasta.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Penglibatan secara langsung syarikat-syarikat swasta yang mempunyai pengaruh besar di kalangan pengguna-pengguna seperti Petronas untuk melaksanakan pelbagai program berteraskan keselamatan jalan raya amat dihargai oleh pihak kerajaan kerana ianya selaras dengan sasaran dan hasrat yang ditetapkan dibawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006 - 2010 dan Wawasan Sifar Kematian sebagai dasar jangka panjang.
Program ini menunjukkan usaha yang berterusan dan juga komitmen yang kuat daripada pihak Petronas dalam usaha melaksanakan Tanggunghjawab Korporat dan Sosialnya dengan menganjurkan program dan bengkel keselamatan jalan raya bagi menyokong usaha pihak kerajaan untuk mendidik dan mempromosi isu-isu keselamatan jalan raya ke arah matlamat meminimakan kes-kes kecederaan dan kemalangan maut di Negara kita.
Berdasarkan pengalaman yang dialami oleh negara-negara maju peranan dan sumbangan pihak swasta dalam usaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya adalah amat penting di mana tanggungjawab mengurangkan kadar kemalangan hendaklah dipikul bersama-sama, baik oleh pihak kerajaan mahupun oleh pihak swasta.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Kajian menunjukkan bahawa hampir 70% daripada punca kemalangan adalah kerana faktor sikap dan amalan para pengguna jalan raya yang tidak segan mengambil risiko ketika di jalan raya. Maka perubahan sikap adalah amat penting kerana tanpa perubahan sikap sesuatu program atau kempen keselamatan tidak akan berkesan dan mencapai matlamat yang disasarkan. Perubahan sikap juga merupakan landasan yang penting bagi perubahan nilai dan amalan serta seterusnya bagi mewujudkan budaya yang mengutamakan isu-isu keselamatan.
Pelaksanaan program dan kempen keselamatan jalan raya tidak akan mencapai matlamatnya bagi mengurangkan kadar kemalangan, tanpa sokongan dan penglibatan serta penyertaan para pengguna jalan raya.
Maka penyertaan dan penglibatan para peserta terutamanya para pemandu kenderaan pada bengkel pada hari ini, merupakan satu komitmen yang tinggi dan amat dihargai bagi meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran terhadap aspek-aspek serta isu-isu kritikal keselamatan jalan raya.
Adalah diharapkan melalui ceramah-cermah, percambahan minda dan pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan, yang meliputi aspek-aspek serta isu-isu keselamatan di jalan raya akan memberikan faedah dan manafaat yang amat berguna kepada para peserta bengkel pada hari ini.
Semoga segala ilmu, petua dan panduan yang diperolehi oleh para peserta daripada bengkel pada hari ini, akan dapat dimanafaatkan sepenuhnya sebagai amalan dan budaya pemanduan berhemah di dalam pertugasan dan kehidupan seharian.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Petronas melalui Petrosains Sdn Bhd, JKJR Kuala Lumpur dan semua pihak serta para peserta yang terlibat dalam usaha menjayakan Bengkel Petronas Streetsmart - Lessons For Life 2009. Adalah diharapkan penganjuran bengkel ini akan dijadikan acara tahunan sebagai salah satu lagi inisiatif baru yang menjurus ke arah mendidik dan mempromosikan isu-isu keselamatan jalan raya kepada para pengguna jalan raya.
Saya dengan ini merasmikan Majlis Penutup Bengkel Petronas StreetSmart – Lesson For Life 2009. Terima kasih.
Encik Sim Say Kiong











