Choose language : English Version
Y.Bhg. Dato’ Haji Zakaria Haji Bahari
Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan;
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim
Pengerusi PLUS Expressways Berhad;
Y.Bhg. Datuk Suret Singh
Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya; ;
Y.Bhg.Puan Noorizah Haji Abdul Hamid
Pengarah Urusan PLUS Expressways Berhad;
Y.Bhg. Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah
Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia(MIROS);
Dif-Dif Kehormat;
Salam sejahtera dan Selamat petang;
Saya berasa amat gembira kerana dapat kita berkumpul bersama sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia dengan PLUS Expressways Berhad pada petang yang mulia ini.
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada JKJR dan PLUS yang telah berjaya mencapai kata sepakat untuk merealisasikan semangat kerjasama pintar bagi melaksanakan program-program untuk keselamatan jalan raya berasaskan komuniti ke arah mencapai Wawasan Sifar Kematian Jalan Raya di Negeri Selangor, Perak dan Johor.
Wawasan Sifar Kematian Jalan Raya merupakan dasar dan falsafah keselamatan yang merangkumi segala aspek keselamatan termasuk pemandu, kenderaan, infrastruktur jalan dan keselamatan persekitaran ke arah mencapai sifar kes kematian atau kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya. Di bawah wawasan sifar ini, walaupun masih ada kesilapan manusia sebagai punca kemalangan tetapi ianya tidak akan menghasilkan kes-kes maut atau cedera parah.
Projek Rintis Wawasan Sifar Kematian di Jalan Raya, telah dimulakan di Putrajaya pada Mei 2008, bagi melaksanakan amalan terbaik keselamatan jalan raya atas prinsip-prinsip dan matlamat Wawasan Sifar kematian di jalan raya.
Bagi merealisasikan projek rintis ini, Jabatan Keselamatan Jalan Raya telah bekerjasama rapat dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia(MIROS), PDRM, JPJ, Perbadanan Putrajaya, JKR, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak-pihak yang berkaitan dalam melaksanakan pelan Wawasan Sifar yang meliputi aspek-aspek Kejuruteraan, Pendidikan, Penguatkuasaan dan Alam Sekitar.
Di bawah Memorandum yang akan ditandatangani antara JKJR dan PLUS pada petang ini kedua-dua pihak sebagai rakan kongsi akan berganding bahu melaksanakan Wawasan Sifar Kematian di Jalan Raya bagi negeri Perak, Selangor dan Johor.
Dalam melaksanakan dasar Wawasan Sifar, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan PLUS akan melaksanakan pelbagai program-program intervensi yang dipersetujui bersama terutamanya program-program kemasyarakatan yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai bagi mewujudkan budaya berhemah di kalangan pengguna-pengguna jalan raya.
Inisiatif dan usaha serta komitmen yang kuat daripada PLUS dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial dan Korporatnya melalui MOU yang akan di tandatangani hari ini adalah amat dihargai dan seharusnya menjadi contoh serta tauladan kepada syarikat swasta yang lain.
Penglibatan pihak swasta dalam usaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya adalah amat digalakkan dan merupakan salah satu daripada 9 teras strategik yang terkandung di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006 - 2010.
Berdasarkan pengalaman yang dialami oleh negara-negara maju peranan dan sumbangan pihak swasta dalam menangani isu-isu keselamatan jalan raya adalah amat penting di mana tanggungjawab mengurangkan kemalangan adalah dipikul bersama-sama oleh pihak kerajaan dan swasta.
Maka usaha dan langkah yang dilakukan oleh PLUS selaku pihak yang bertanggungjawab secara langsung dalam pembinaan dan penyelanggaraan lebuhraya utara selatan iaitu lebuhraya terbesar di negara kita, sememangnya tepat pada masanya ke arah mencapai matlamat Wawasan Sifar Kematian di Jalan Raya terutamanya di Negeri terpilih yang merupakan kawasan operasi PLUS .
Sememangnya penglibatan pihak PLUS dalam program-program dan aktiviti-aktiviti berhubung isu-isu keselamatan jalan raya tidak boleh dinafikan. Pada tahun ini kejayaan PLUS bersama JKJR menganjurkan seminar Respect Your Limits bagi pemandu kenderaan berat di beberapa buah negeri nyata mendapat sambutan yang baik dan amat menggalakkan. Dalam pada itu kerjasama dan sokongan PLUS bagi program advokasi tali keledar dan topi keledar di plaza-plaza tol dan kawasan R&R di seluruh negara, di atas dasar ”Tiada Hari Tanpa Advokasi” adalah amat dihargai oleh Kementerian Pengangkutan, JKJR dan rakan kongsi kami.
Semoga melalui Memorandum antara JKJR dan PLUS pada hari ini akan menghasilkan impak yang besar dalam usaha merangka pelbagai program bagi menangani isu-isu keselamatan jalan raya dan seterusnya merealisasikan matlamat Wawasan Sifar Kematian di Jalan Raya.
Y.B. DATUK ONG TEE KEAT











