Choose language : English Version
JOHOR BAHRU 18 Ogos - Seorang pemandu traktor, Md. Ali Hassan, 52, maut selepas secara tidak sengaja dilanggar oleh kereta yang dipandu isterinya di hadapan rumah mereka di Jalan SS 8/9, Taman Seri Saujana, Kota Tinggi di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, isteri mangsa, K. Sulakabebe, 49, yang bekerja sebagai tukang urut sedang mengeluarkan keretanya jenis Nissan automatik.
Dia sepatutnya mengundurkan kereta itu yang diletakkan dalam halaman rumah untuk pergi ke pekan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, semasa hendak mengundurkan kereta terbabit, wanita itu yang sepatutnya menggunakan gear 'R' untuk undur secara tidak sengaja menukar gear kepada 'D' (pandu) dan menekan pedal minyak menyebabkan dia melanggar suaminya di hadapan kereta.
Md. Ali kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini namun meninggal dunia kira-kira 4.30 petang hari yang sama.
Menurut Osman, siasatan mengenai kejadian dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagaimanapun wanita itu tidak ditahan.
Katanya, mangsa meninggalkan dua anak lelaki masing-masing berumur 24 serta 22 tahun.
Sementara itu, Osman menjelaskan isteri mangsa beragama Islam namun masih mengekalkan nama asalnya sebelum memeluk Islam.











