Choose language : English Version
LUMUT 25 Jun - Replika anggota polis trafik akan diletakkan di lokasi tertentu di daerah ini sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, sebagai permulaan, sebanyak 10 replika berkenaan akan ditempatkan di 10 lokasi yang dikesan kerap berlaku kes kemalangan.
Menurutnya, replika itu digunakan bagi membantu menjayakan kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan polis trafik.
"Buat masa ini polis telah mengenal pasti 10 lokasi di sekitar daerah Manjung yang kerap berlaku kes kemalangan jalan raya.
"Antara kawasan itu termasuklah di Seri Manjung, Lumut, Ayer Tawar, Pantai Remis dan Sitiawan. Idea meletakkan replika ini bertujuan menyedarkan masyarakat agar berhati-hati di jalan raya tanpa mengira masa dan lokasi.
"Ia juga diharap dapat mendidik pengguna supaya sentiasa berhemah dan bersopan ketika memandu," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Replika Kempen Keselamatan Jalan Raya di pondok polis Lekir, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Presiden Kelab Rotary Sitiawan (RCS), S. Loganathan; Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Polis Perak, Supritendan Wan Abdullah Wan Ishak dan Pengarah Urusan REMCO Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Syaifu Abdullah.
Menurut Mohd. Jamil, kesemua replika yang diletakkan itu akan dipantau untuk melihat keberkesanannya dalam memberi kesedaran seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Sekiranya berjaya, katanya, ia akan diletakkan di semua kawasan lain di daerah ini serta kemungkinan juga dikembangkan ke seluruh Perak.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE











