Choose language : English Version
PULAU PINANG 29 Jun - Ke arah mempertingkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini, Rapid Penang Sdn. Bhd. (RapidPenang) mengambil inisiatif dengan menambah bas baru lengkap dengan kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, penambahan peringkat pertama melibatkan 12 bas baru dan akan ditambah kepada 150 buah menjelang akhir tahun.
"Jumlah tersebut akan meningkat pada tahun hadapan dengan menjadikannya sebanyak 200 buah bas.
"Bas-bas ini sememangnya selesa, mudah dan mesra pengguna terutama untuk golongan OKU sekali gus meliputi lebih banyak kawasan di seluruh negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Bas Baru RapidPenang serta merasmikan laman web baru syarikat itu, www. rapidpg.com.my di Lorong Kulit di sini semalam.
Bas baru RapidPenang berjenama Scania itu didatangkan dari Sweden dan diperbuat daripada aluminium untuk perjalanan yang ringan.
Ia juga telah diubah suai bagi memudahkan kerusi roda OKU dibawa ke atas bas dan ditempatkan di ruang khas yang mempunyai tali keledar.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, masalah tapak terminal bas bakal selesai apabila kerajaan negeri meluluskan pemberian tanah seluas tujuh hektar secara pajakan selama 10 tahun di Sungai Nibong di sini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif RapidPenang, Azhar Ahmad berkata, kesemua bas baru itu akan memulakan operasi pada Julai ini selepas menjalani beberapa kerja-kerja pengubahsuaian.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE











