Choose language : English Version
KOTA BHARU - Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengingatkan anggotanya supaya memandu dan menunggang cara berhemah di jalan raya bagi mengelak insiden tidak diingini seperti kemalangan maut."Patuhilah peraturan jalan raya sepenuhnya bagi mengelak kemalangan yang tidak diingini berlaku," katanya ketika berucap pada majlis pelepasan program Kembara Merdeka Ke-51 Kor Kadet Polis Kontijen Kelantan di sini.
Seramai 90 peserta mengambil bahagian dalam program dua hari itu yang disertai oleh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), kadet polis, Jabatan Penerangan, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Program dua hari itu diketuai Abdul Rahim dan akan singgah di beberapa destinasi termasuk Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Machang, Dataran Peladang di Kuala Krai, Gua Musang dan terus ke Pos Brooke di mana peserta akan bermalam.
Menurutnya, sepanjang perjalanan itu para peserta diingatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya di samping menghormati penduduk kampung di tempat persinggahan.
Beliau berkata, hubungan baik dengan masyarakat setempat terutama Orang Asli perlu dijaga bagi memastikan program Kembara Merdeka dapat dihayati sepenuhnya oleh penduduk setempat.











