Laman Utama » Media » Keratan Akhbar » Ops Warta 7 ditangguh

Ops Warta 7 ditangguh

KUALA LUMPUR 15 Nov. — Hanya 24 jam selepas pengumuman Ops Warta 7 bermula Isnin ini bagi memburu 96,000 pesalah trafik yang gagal menjelaskan saman dan dikenakan waran tangkap termasuk mengesan dari rumah ke rumah, polis hari ini mengumumkan penangguhan operasi itu.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum memutuskan tarikh baru operasi itu dan tempoh pelaksanaannya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sehingga kini beliau dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri belum menerima laporan mengenai pelancaran operasi itu daripada Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Abdul Aziz Yusof.

Sehubungan itu, katanya, penangguhan operasi itu perlu bagi memberi sedikit masa kepada pihaknya untuk mengkaji secara menyeluruh laporan pelaksanaan Ops Warta 7.

“Kita sudah tangguhkan Ops Warta 7 dan bukannya bermula Isnin ini. Kita buat keputusan supaya operasi itu yang diumumkan (oleh Abdul Aziz) semalam, ditangguhkan sehingga saya dan Ketua Polis Negara berbincang terlebih dulu.

“Kita perlu mengkaji laporan mengenai cadangan pelaksanaan Ops Warta 7 sebelum memutuskan tarikh baru bermulanya operasi itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai tindakan Abdul Aziz mengadakan sidang akhbar mengumumkan Ops Warta sebelum mendapat pandangan atau menyerahkan laporan kepada beliau dan Musa, Ismail berkata:

“Itulah... apa-apa keputusan hanya diambil selepas perbincangan saya, Ketua Polis Negara dan juga Ketua Trafik Pasukan (Abdul Aziz), sehingga kini kita masih belum putuskan tarikh pelancarannya.”

Difahamkan, pertemuan khas melibatkan Musa, Ismail dan Abdul Aziz itu akan diadakan Isnin ini yang bertujuan bagi membincangkan operasi berkenaan.

Ismail berkata, beberapa agenda akan dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk jumlah waran tangkap yang dikeluarkan dan tempoh penguatkuasaannya.

Semalam, Abdul Aziz dalam sidang medianya mengumumkan, pihaknya memburu 96,000 orang pesalah trafik yang gagal membayar saman menerusi Ops Warta kali ini termasuk mengesan mereka dari rumah ke rumah dan pejabat mulai Isnin ini.

Operasi itu dijadual diadakan selama sebulan iaitu sehingga 16 Disember ini dan ia melibatkan pesalah yang dikeluarkan waran tangkap dari 1 Mei hingga 31 Oktober lalu.

Sepanjang Ops Warta kali ini, 4,000 pegawai dan anggota trafik di seluruh negara akan terlibat mengesan dan menjalankan tangkapan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan saman dan telah menerima waran tangkap.

Pada 10 November lalu, Musa dalam kenyataannya memberitahu, nilai kompaun bagi saman trafik tertunggak di seluruh negara kini mencecah RM1.2 bilion meliputi pelbagai kesalahan.

Menurut Ketua Polis Negara itu, jumlah tersebut meliputi pesalah yang dikenakan tindakan waran tangkap dan juga saman ke atas pesalah trafik yang belum dikemas kini alamat masing-masing.

Kata Musa, semakan yang dibuat di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kebanyakan pesalah trafik itu tidak mempunyai alamat terbaru.