Choose language : English Version
Perayaan Tahun Baru Cina pada setiap tahun di sambut bersama-sama oleh masyarakat Cina dan semua rakyat Malaysia dengan penuh ceria dan rasa muhibah. Tradisi kunjung-mengunjung antara satu sama lain menambahkan lagi kemeriahan perayaan dan kegembiraan ini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara ahli-ahli keluarga, saudara mara dan jiran serta masyarakat berbilang kaum.
Namun di dalam musim perayaan besar sebegini, keseronokan dan kegembiraan kita sering tercalar oleh pelbagai berita kematian yang diakibatkan oleh kemalangan jalan raya yang banyak berlaku pada musim-musim cuti perayaan. Setiap hari di dada akhbar, kita sering dipaparkan tentang berita kematian akibat kemalangan jalan raya. Untuk pengetahuan umum, setiap hari secara puratanya ada 17 kematian dari 30 hingga 40 kes cedera parah akibat kemalangan di jalan raya. Kebanyakkan daripada kemalangan tersebut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memahami bahawa keselamatan jalan raya ialah tanggungjawab bersama. Petua-petua keselamatan jalan raya hendaklah dijadikan amalan seharian ke arah membudayakan isu-isu keselamatan jalan raya.
Pada setiap masa kita hendaklah memandu mengikut hadlaju yang ditetapkan dan mengelakkan memandu secara melulu dan merbahaya, pandu ikut lorong yang ditetapkan, dapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan, mematuhi peraturan lampu isyarat dan jarak keselamatan kenderaan, mengamalkan petua keselamatan, jangan memotong jika teragak-agak, jangan memotong dan memandu dilorong kecemasan serta jangan lupa pakai tali keledar depan dan belakang untuk keselamatan diri, orang tersayang dan pengguna-pengguna jalan raya.
Saya percaya kita mampu meminimakan kes-kes kemalangan maut dan cedera parah, jika setiap antara kita dapat membudayakan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan serta mengamalkan petua jalan raya.
Saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2009 kepada masyarakat Cina secara khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya. Semoga tahun ini akan memberikan kita lebih kebaikkan untuk dinikmati bersama.
“Pandu, Tunggang dan Jalan Dengan Selamat”
“Anda Mampu Mengubahnya”
Y.B. DATO’ SRI ONG TEE KEAT











