Choose language : English Version
KUANTAN 25 Jun - Seorang peniaga yang cedera parah dalam kemalangan terpaksa merangkak memanjat tebing untuk mendapatkan bantuan selepas keretanya memasuki gaung di Kilometer 179, Lebuh Raya Pantai Timur dekat Maran, semalam.
Namun usahanya tidak kesampaian apabila mangsa, Hamidi Hamdan, 30, hanya mampu memanjat sejauh 30 meter sebelum ditemui mati di tebing gaung sedalam 15 meter itu akibat kecederaan parah.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, Hamidi yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, dipercayai berusaha untuk keluar dari kereta jenis Mitsubishi Evo 7 setelah terhumban ke dalam gaung tersebut.
Usaha Hamidi untuk mendapatkan pertolongan orang ramai itu dikesan menerusi titisan darah yang ditemui dari tempat keretanya terjatuh sehingga di kawasan dia ditemui meninggal dunia.
Menurut Pegawai Turus Trafik Pahang, Deputi Supritendan Mohd. Najib Jusoh, mangsa yang memandu seorang diri, dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.
Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung di laluan tersebut.
"Dalam keadaan cedera parah, mangsa keluar dari keretanya dan merangkak memanjat tebing untuk mendapat bantuan pengguna jalan raya yang lain.
"Berdasarkan kesan darah di lokasi kejadian, mangsa merangkak sejauh 30 meter dari tempat keretanya terjatuh," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, akibat kecederaan parah di kepala, mangsa meninggal dunia sebelum sempat sampai di atas tebing itu.
"Polis hanya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira pukul 1.20 petang memaklumkan mengenai kejadian tersebut," katanya.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE











