Choose language : English Version
ALOR STAR 18 Ogos - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terjatuh dalam tali air di Jalan Alor Pak Ngah, di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam apabila mangsa, Abdul Halim Sareng, 46, tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terbabas ke dalam tali air berkenaan.
Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Kota Star, Inspektor Tivagaran Supramaniam berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Bendang Perang, dekat sini dipercayai baru pulang dari tempat kerja.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala setelah terjatuh di dalam tali air dan siasatan awal mendapati mangsa diseret oleh motosikal yang ditungganginya kira-kira empat meter sebelum terjatuh ke situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan mangsa lemas akibat berada terlalu lama di dalam tali air tersebut di samping mengalami kecederaan parah setelah terjatuh dari motosikalnya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.











