Choose language : English Version
JOHOR BAHRU 17 Ogos - Lebih 18 kes kemalangan maut dilaporkan berlaku setiap hari di seluruh negara ini dengan mengorbankan lebih 10 penunggang dan pembonceng motosikal.
Dalam sehari juga, lebih daripada empat pemandu dan penumpang kereta dilaporkan maut.
Menurut statistik yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, sebanyak 555 kes kemalangan maut dilaporkan dalam tempoh tersebut dengan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu seramai 304 orang.
Ini diikuti pemandu serta penumpang kereta seramai 143 orang, pejalan kaki (47), penunggang serta pembonceng basikal (13) dan pemandu serta kelindan lori (13).
Pemandu penumpang kenderaan pacuan empat roda pula seramai 11 orang, pemandu serta penumpang bas (10), lain-lain kenderaan (9) dan pemandu serta penumpang van (5).
Sementara itu, sebanyak 28,905 kemalangan dilaporkan sepanjang Jun lalu dengan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 7,958 kes.
Ini diikuti Johor sebanyak 3,895 kes, Kuala Lumpur (3,465), Pulau Pinang (2,656), Perak (2,328), Negeri Sembilan (1,370) dan Kedah (1,302).
Sarawak pula mencatat sebanyak 1,275 kes, Sabah (1,148), Pahang (1,091), Melaka (949), Kelantan (692), Terengganu (678) dan Perlis (98).
Secara purata, lebih daripada 963 kemalangan dilaporkan berlaku setiap hari sepanjang Jun lalu.











