Laman Utama » Media » Keratan Akhbar » Kereta langgar mati suami dihantar ke Puspakom

Kereta langgar mati suami dihantar ke Puspakom

JOHOR BAHRU 19 Ogos - Kereta dipandu wanita yang secara tidak sengaja melanggar suaminya sehingga maut kelmarin, akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, tindakan itu perlu diambil bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi menyayat hati itu.

"Ia juga bagi mengenal pasti jika terdapat kerosakan mekanikal pada kenderaan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, seorang tukang urut, Sulaka Bebe Koya Kutty, 49, terlanggar suaminya, Md. Ali Hassan, 52, akibat terkejut ketika mengundurkan kereta jenis automatik itu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi di rumah pasangan itu di No. 40, Jalan SS 8/9, Taman Seri Saujana, Kota Tinggi apabila dia terlanggar sebuah van ketika mengundurkan kereta menyebabkan pemandu van menjerit.

Jeritan itu membuatkan suaminya ke luar rumah, tetapi malangnya, Sulaka Bebe yang panik telah menekan pedal minyak dan merempuh suaminya.

Sementara itu, Osman berkata, buat masa ini, kes itu disifatkan sebagai kemalangan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, bagaimanapun, pihaknya akan memanggil isteri mangsa untuk diambil keterangan berhubung kes tersebut dalam masa terdekat.

"Namun, pada masa ini polis belum memanggilnya memandangkan dia masih bersedih di atas kehilangan suami tercinta. Biarlah, apabila traumanya hilang, baru keterangan diambil," jelasnya.