Choose language : English Version
BALING 19 Ogos - Seorang ibu bersama empat anaknya nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah gerai makan di Jalan Tawar Kuala Pegang dekat Kampung Ketemba Kememeh, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang semasa Norhaiza Hassan, 33, dalam perjalanan balik dari Sungai Petani ke rumah keluarganya di Kampung Dalam Wang, dekat sini.
Menurutnya, dia cuba mengelak sebuah van menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas dan berpusing sebelum merempuh gerai berdekatan.
"Saya cuba mengelak van itu, akibatnya kereta saya berpusing dan merempuh gerai tersebut," katanya yang bersyukur kerana dia dan anak-anaknya terselamat," katanya.
Bagaimanapun seorang penunggang motosikal cedera di tangan kanan dipercayai bergesel dengan kereta Norhaiza.
Ibu berkenaan dan anak-anaknya turut bernasib baik apabila kereta tersebut terlanggar tiang elektrik menyebabkan ia tidak terbabas lebih jauh.
Akibat rempuhan itu, gerai makanan milik Rosnah Md Aroff, 53, rosak teruk termasuk sebahagian bumbung dan tiang besi tercabut. Rosnah berkata, dia bernasib baik kerana tidak ada pelanggan sewaktu kejadian selepas makanan habis dijual.











