Choose language : English Version
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Semua urusan pelesenan Sani United Sdn. Bhd. seperti permohonan baru dan ubah syarat dibekukan selama setahun ekoran kemalangan maut membabitkan sebuah bas ekspres dua tingkat milik syarikat itu pada 26 Disember lalu.
Selain itu, permit bas ekspres bernombor pendaftaran WSX 5010 dibatalkan di samping Sani United perlu meningkatkan sistem pengurusan pemandunya dalam tempoh sebulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kesemua tindakan itu berkuat kuasa hari ini.
Berikutan itu juga katanya, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan mengubah Akta LPKP 1987 dengan menaikkan kadar denda maksimum kepada RM20,000 berbanding RM300 sekarang ke atas syarikat yang didapati melakukan kesalahan seperti bas terlibat dalam kemalangan.
"Sekarang ini mana-mana syarikat yang didapati bersalah seperti terlibat dalam kemalangan hanya dikenakan denda maksimum RM300, macam tiada apa-apa jadi terpaksa pinda. Ia akan dibincangkan pada sesi Parlimen nanti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa khas berkenaan nahas itu di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Mesyuarat lebih enam jam itu dipengerusikan Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan disertai sembilan pegawai tertinggi agensi lain dari Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Selain itu wakil Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Puspakom Sdn. Bhd. dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).
Pada pukul 1 pagi 26 Disember lalu, 10 penumpang terbunuh apabila bas ekspres dua tingkat WSX 5010 milik Sani United terlibat dalam kemalangan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara selepas pemandunya mengaku terlelap ketika kejadian.
Mohamed Nazri bagaimanapun memberitahu, bas-bas ekspres di negara ini masih perlu beroperasi pada waktu malam kerana ia bukan merupakan punca utama kemalangan.
"Kita juga tidak boleh mengambil tindakan seperti menyita semua bas milik syarikat itu (Sani United) kerana ia akan menyebabkan kesan berangkai seperti pemandu tiada kerja dan syarikat terbeban dengan hutang bank," jelasnya.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA











