Choose language : English Version
JOHOR BAHRU 19 Ogos - Penduduk di Taman Maju Jaya gempar apabila sebuah van tiba-tiba terbakar selepas hampir 10 minit terbabit dalam satu kemalangan di persimpangan Jalan Jerau di sini semalam.
Bagaimanapun kesemua empat lelaki yang sebelum itu menaiki van berkenaan terselamat memandangkan mereka di berada di luar kenderaan semasa kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu.
Terdahulu, van berkenaan dirempuh oleh sebuah Proton Persona yang terbabas lalu masuk ke dalam longkang berhampiran.
Menurut pemandu van berkenaan, Lim Hon Weng, 29, selepas vannya dirempuh, mereka keluar dari kenderaan itu untuk membantu pemandu kereta itu.
"Apabila kemalangan itu berlaku, kami semua keluar dari kenderaan, kira-kira 10 minit selepas itu, van berkenaan itu berasap dan tiba-tiba terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jelasnya, semasa kejadian, dia serta rakan-rakannya yang berusia lingkungan 20-an dalam perjalanan pulang dari kerja di Singapura menuju ke Johor Jaya.
Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Johor Bahru dengan kekuatan lima anggota dikejarkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Sementara itu, pemandu kereta yang terbabas, Sri Indahyati Togi, 35, turut terselamat tanpa sebarang kecederaan serius.











