17 maut hari ke-4

KUALA LUMPUR 11 Okt. _ Sebanyak 17 kematian dilaporkan pada hari keempat Ops Sikap XIII menjadikan jumlah mereka yang maut meningkat kepada 66 orang sejak ia dilancarkan Ahad lalu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC II) Hamza Taib berkata, sebanyak 17 kes kemalangan maut dilaporkan dalam tempoh 24 jam di seluruh negara.

Beliau berkata, kemalangan itu melibatkan kematian enam orang penunggang motosikal, pemandu kereta (4), pejalan kaki (3), penumpang kereta (2) dan masing-masing satu bagi penumpang lori dan pembonceng motosikal.

‘‘Sebanyak 1,186 kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di seluruh negara semalam.

‘‘Dari jumlah itu, 518 kemalangan berlaku di jalan bandaran, jalan persekutuan (294), 197 kemalangan di jalan negeri (197), 121 kes di lebuh raya (121) dan jalan-jalan lain (56),’’ katanya pada sidang akhbar sempena Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak tujuh kes kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, jalan negeri (4), lebuh raya (3), jalan bandaran (2) dan jalan-jalan lain (1).

Menurut Hamza, sebanyak 10,809 saman telah dikeluarkan oleh polis kepada pesalah trafik dalam tempoh sehari meliputi pelbagai jenis kesalahan dan menjadikan jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang empat hari ini ialah sebanyak 42,245.

Sementara itu, seramai 143 penumpang bas dan sembilan penunggang motosikal turut ditahan semalam akibat positif dadah iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Sabah.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa 25,000 pegawai kerajaan kelas A agar memberikan kerjasama dengan melaporkan kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

Jelasnya, setakat ini polis hanya menerima dua laporan kesalahan lalu lintas dari pegawai kerajaan kelas A sepanjang Ops Sikap XIII dijalankan.

‘‘Satu kes dilaporkan di Kuala Lipis dan satu kes lagi di Pulau Pinang dengan kedua-dua pemandu tersebut telah berjaya kita tahan kerana memandu cara berbahaya.

‘‘Saya yakin lebih ramai pegawai kerajaan kelas A akan menjadi mata kepada polis sepanjang Ops Sikap XIII dijalankan,’’ katanya.

Author: josh

Share This Post On