Laman Utama » Media » Keratan Akhbar » 15 pelatih TUDM cedera bas dirempuh

15 pelatih TUDM cedera bas dirempuh

ALOR STAR 19 Ogos - Seramai 15 orang pelatih Pusat Latihan Terbang (Pulatibang) I Kepala Batas cedera apabila bas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mereka naiki dirempuh sebuah bas ekspres di Kampung Titi Gajah di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu dikatakan berlaku ketika bas yang membawa 40 pelatih itu sedang membuat pusingan U sebelum dilanggar sebuah bas ekspres yang menuju ke Jitra.

Seorang pelatih yang dikenali sebagai Leftenan Roni Temu dilaporkan berada dalam keadaan serius sementara lapan lagi dimasukkan ke wad untuk rawatan.

Turut tercedera dalam kejadian itu ialah seorang pemandu bas ekspres terbabit, Ibrahim Salleh, 52, bagaimanapun keadaannya dilaporkan tidak membimbangkan.

Penumpang lain di dalam bas ekspres tersebut juga tidak mengalami kecederaan serius.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan berkata, seorang daripada 15 pelatih itu berada dalam keadaan serius manakala enam lagi diberikan rawatan pesakit luar.

"Pelatih yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Rumah Sakit Angkatan Tentera KTU (RSAT) manakala pelatih yang mengalami kecederaan serius dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan Kedah Medical Centre (KMC) untuk rawatan lanjut," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, pelatih-pelatih yang dimasukkan ke hospital semuanya berpangkat Leftenan iaitu Tim Har Naufal, Ahmad Faris Salwan, Darren Tan Heng Chiang, Mohd. Izzat Zakaria, Asraf Ramli, Megat Zairee Megat Kamil, Khairul Nizam Ridzwan dan Arhamar Jaffar.