14 lagi terbunuh hari kedua

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 kematian dilaporkan pada hari kedua Ops Sikap XIII, menjadikan jumlah mereka yang maut kepada 34 orang.

Daripada jumlah itu, penunggang motosikal masih menjadi mangsa terbesar dengan tujuh kematian, pemandu kereta (3), penumpang kereta (2) dan masing-masing seorang bagi penunggang basikal dan pejalan kaki.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC II) Hamza Taib berkata, sebanyak 1,209 kes kemalangan jalan raya dilaporkan berlaku di seluruh negara semalam.

‘‘Daripada jumlah itu, 543 kes berlaku di jalan bandaran, jalan persekutuan (310), jalan negeri (188), lebuh raya (128) dan jalan-jalan lain (40).

‘‘Sebanyak sembilan kes kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, jalan bandaran (3), masing-masing satu kes di jalan negeri dan lebuh raya,’’ katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 11,271 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik semalam berbanding 8,257 saman dikeluarkan pada hari pertama operasi itu.

Menurut Hamza, sebanyak 341,252 kemalangan direkodkan pada tahun 2006.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 5,719 kemalangan maut direkodkan dengan melibatkan 6,287 kematian.

‘‘Daripada 6,287 kematian, pembonceng motosikal mencatatkan kematian tertinggi iaitu 3,243 kematian,’’ katanya.

Author: josh

Share This Post On